Israel bebaskan kumpulan pertama 90 tahanan Palestin bawah perjanjian gencatan senjata

RAMALLAH — Israel membebaskan 90 tahanan Palestin dari penjara Ofer, yang terletak di barat Ramallah di Tebing Barat, awal Isnin, hanya beberapa jam selepas tiga tebusan Israel kembali ke Israel berikutan pembebasan mereka dari tahanan Hamas di Gaza.

Saksi mata dan sumber tempatan Palestin berkata beberapa bas meninggalkan penjara Ofer pada 1 pagi waktu tempatan (2300 GMT pada Ahad) selepas isu berkaitan pengesahan senarai nama diselesaikan.

Pejabat Media Banduan yang bergabung dengan Hamas mengesahkan bahawa proses pembebasan telah bermula selepas persetujuan dicapai dalam senarai tersebut.

Satu kenyataan menyebut bahawa bas dari Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengangkut tahanan, termasuk lelaki dan wanita, dari penjara Ofer ke kawasan yang dikawal Pihak Berkuasa Palestin.

Beratus-ratus rakyat Palestin, termasuk keluarga tahanan, berkumpul dekat penjara untuk mengalu-alukan tahanan yang dibebaskan.

Kawasan sekitar penjara menyaksikan ketegangan yang semakin memuncak selepas beberapa wartawan dan rakyat Palestin diserang oleh tentera Israel, yang menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan orang ramai.

Antara 90 banduan yang dibebaskan ialah wanita dari Baitulmaqdis Timur dan bawah umur 18 tahun.

Pembebasan tahanan ini adalah sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata Gaza antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada Ahad.

XINHUA