Category: MALAYSIA

  • Pencuri pakaian dalam wanita ditahan

    SEREMBAN – Lelaki yang mempunyai hobi pelik mencuri pakaian dalam wanita dan wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) ketika kejadian di Kampung Baru Rasah, di sini kelmarin, ditahan polis, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, hasil risikan pihaknya mengenal pasti suspek dan mengarahkan lelaki itu menyerah diri.

    “Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan ketika hadir ke Balai Polis Campbell, di sini, kira-kira jam 9 pagi tadi selepas dipanggil.

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan siasatan masih dijalankan termasuk pembabitan suspek dalam curi lain di kawasan ini,” katanya, hari ini.

    Semalam, dilaporkan seorang lelaki mempunyai hobi aneh apabila dikesan berulang kali mencuri pakaian dalam wanita, malah pakaian dalam milik warga emas juga menjadi sasarannya.

    Kejadian itu dirakam berlaku di sebuah rumah di Kampung Baru Rasah, di sini, apabila pemilik rumah tidak tahan dengan kejadian itu dan memasang kamera litar tertutup (CCTV).

    Mohamad Hatta dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 27 tahun berhubung kejadian itu dan sebelum ini pernah menerima laporan kejadian sama.

    BH ONLINE

  • Kelantan catat kes penyalahgunaan dadah tertinggi, diikuti Terengganu, Perlis dan Kedah – Ayob Khan

    ALOR SETAR – Kelantan mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia membabitkan 1,130 kes dalam setiap 100,000 penduduknya.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata Terengganu pula kedua tertinggi dengan 914 kes, diikuti Perlis (965 kes) dan Kedah (898 kes) bagi jumlah penduduk sama.

    Beliau berkata, berdasarkan statistik pada 2024, sebanyak 192,857 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara,

    Daripada jumlah itu, sebanyak 61 peratus daripada mereka yang berusia antara 15 dan 39 tahun, yang tergolong dalam kumpulan umur paling produktif.

    “Jumlah itu membabitkan 56 peratus daripada mereka adalah lelaki dan 75 peratus daripadanya adalah Melayu, dengan 37 peratus daripada mereka menganggur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Ayob berkata, daerah Pendang di negeri ini masih mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di seluruh negara iaitu 1,798 bagi setiap 100,000 penduduk.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu menunjukkan peningkatan daripada 1,333 kes penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk yang dilaporkan pada tahun sebelumnya.

    “Berdasarkan statistik terkini pada tahun lalu, daerah Pendang masih mencatatkan kes penyalahgunaan dadah paling tinggi di negara ini iaitu 1,789 bagi setiap 100,000 penduduk.

    “Selepas Pendang, empat daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai (1,442); Bachok (1,315), Tanah Merah (1,275) dan Pasir Putih (1,265) mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini,” katanya.

    Ayob berkata, berdasarkan kajian, 47 peratus daripada penyalahgunaan dadah kerana pengaruh rakan sebaya, manakala 18 peratus lagi mencuba dadah kerana sekadar ingin mencuba.

    Dalam pada itu, Ayob berkata, polis akan meneruskan tindakan membanteras sindiket pengedaran dadah di negara ini susulan serbuan meluas Ops Kenari selama lapan hari di Kedah dan Perlis baru-baru ini, yang bermula pada 9 April lalu.

    “Sasaran utama kami ialah pembekal dan pengedar utama.

    “Kami sudah mengetahui bahawa ramai pengedar dadah sudah melarikan diri ke negara jiran untuk mengelak daripada ditahan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Syed Saddiq ubah niat pindah wang ke akaun peribadi ASB – Pendakwaan

    PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan menghujahkan tiada pengeluaran wang sumbangan yang dikumpulkan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dalam dua program berasingan pada April 2018 digunakan bagi kempen Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, berkata sebaliknya bekas Menteri Belia dan Sukan itu selaku perayu mengubah niat dengan memindahkan sejumlah wang bernilai RM100,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya selepas PRU14.

    Ketika berhujah di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Farah Ezlin berkata, perayu, saksi pembelaan kedua (SD2) (Ulya Aqamah Husamudin) dan SD4 (Siti Nurul Hidayah) menyatakan bahawa dalam persediaan menghadapi PRU14, terdapat dua program ‘fundraising’ diadakan bagi tujuan kempen perayu di Parlimen Muar iaitu ‘Makan Amal Muo’ pada 7 April 2018 di Banquet Hall, Muar; dan ‘Fundraising Battle for Johor’ pada 8 April 2018 di De Palma Hotel, Ampang.

    “Perayu mengeluarkan resit perbelanjaan untuk digunakan bagi PRU14, tetapi itu tidak bermakna wang itu berpunca daripada dananya sendiri.

    “Tiada bukti yang menunjukkan bahawa sumber wang yang digunakan dalam kempen itu sememangnya berasal daripada dana peribadi dan perlu ‘reimbursement’ (dibayar balik),” katanya.

    Katanya, SD4 berperanan sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan kempen perayu langsung tidak dimaklumkan bahawa wang ‘fundraising’ yang diraih adalah bagi tujuan reimbursement.

    “Ini selari dengan keterangannya bahawa SD4 hanya mengetahui fakta bahawa wang fundraising diarahkan oleh perayu kepada SP13 (Rafiq Hakim Razali) untuk dipindahkan ke akaun peribadi perayu selepas perayu disiasat.

    “SD4 juga tidak mempunyai pengetahuan bahawa wang itu kemudiannya dipindahkan ke akaun ASB peribadi perayu. Seharusnya SD4 sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal perbelanjaan kempen adalah orang yang sewajarnya tahu dan dapat memberikan penjelasan berkenaan jumlah yang dibelanjakan, jumlah yang hendak digantikan, sebaliknya, SD4 ‘was left in the dark’,” katanya.

    Selain itu, Farah Ezlin berkata, dalam keterangan bela diri Syed Saddiq memberitahu pembayaran balik kempen PRU14 adalah ‘after thought’ (perkara yang difikirkan kemudian).

    “Ini kerana perayu tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang ini adalah sebagai “reimbursement” kepada perbelanjaan kempen berkenaan,” katanya.

    Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

    Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

    Prosiding rayuan ini adalah peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

    Bagaimanapun jika panel hakim membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari ARMADA yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

    BH ONLINE

  • Prosiding rayuan Syed Saddiq selesai, keputusan ditangguh ke tarikh lain

    PUTRAJAYA – Nasib Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap sabitan dan hukuman empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang dihadapinya akan diketahui pada satu tarikh yang akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan di sini.

    Keputusan rayuan Syed Saddiq, 33, sama ada beliau berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.

    Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

    Syed Saddiq diwakili peguamnya, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan dikendalikan Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.

    Dalam prosiding hari ini, Ahmad Zaidi berkata, mahkamah menetapkan 24 April ini untuk pengurusan kes bagi pemilihan tarikh untuk keputusan.

    “Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak di atas hujahan ini, namun kami memerlukan masa untuk mempertimbangkan keputusan berkenaan.

    “Jadi buat masa ini, kami akan tetapkan tarikh lain untuk pengurusan kes terlebih dahulu,” katanya.

    Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

    Syed Saddiq kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

    Prosiding rayuan ini adalah peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

    Bagaimanapun jika panel hakim membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari ARMADA BERSATU yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    BH ONLINE

  • Syed Saddiq arah ‘clearkan’ wang RM1 juta elak disita SPRM – Timbalan Pendakwa Raya

    PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan berhujah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi arahan supaya Penolong Bendahari Armada BERSATU ‘clearkan’ wang RM1 juta bagi mengelak wang itu disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata Syed Saddiq, 33, selaku perayu didakwa bersubahat dengan cara mengarahkan Rafiq Hakim Razali, 35, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah.

    Menurutnya, ada keterangan menunjukkan perayu mengarahkan Rafiq yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) mengeluarkan wang RM1 juta itu pada 6 Mac 2020.

    “Perayu mengarahkan SP13 untuk ‘clearkan’ wang itu dan ada keterangan menunjukkan dia menyuruh bekas EXCO Armada BERSATU, Abdul Hannaan Khairy, 32, dan seorang lagi saksi, meletakkan tarikh kebelakang di resit dan sebut harga pada 2 Jun 2020.

    “Menerusi perbualan telefon, perayu juga meminta SP13 untuk ‘clearkan’ wang yang disimpan dalam akaun bank parti itu, kerana khuatir wang itu akan disita oleh SPRM.

    “Ketika disoal balas, SP13 turut memberitahu mahkamah, maksud ‘clearkan’ ialah tidak menyimpan wang di rumah,” katanya.

    Beliau berkata, ketika pemeriksaan utama, SP13 memberitahu perayu menyuruh wang itu dikeluarkan dari akaun Armada kerana perayu memaklumkan, wang itu adalah hasil titik peluhnya sendiri.

    Wan Shaharuddin memberitahu panel tiga hakim, bekas Menteri Belia dan Sukan itu bukan dituduh atas kes melakukan pecah amanah sebaliknya bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah.

    Susulan itu, Wan Shaharuddin menghujahkan, pembelaan memanggil semua saksi untuk membuktikan setiap pertuduhan bagi kesalahan bersubahat adalah berdasarkan arahan perayu.

    Beban yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan katanya, hanya perlu ditunjukkan berdasarkan perayu mengeluarkan arahan ke atas SP13 sahaja dan tidak lebih daripada itu.

    Seterusnya beliau berkata, mereka hanya untuk menunjukkan perayu mengeluarkan arahan itu adalah suatu jenayah.

    “Berikutan itu, saya menghujahkan bahawa, Hakim Mahkamah Tinggi mensabit dan menjatuhkan hukuman berlandaskan kepada undang-undang serta keterangan yang betul.

    “Tiada kekhilafan di pihak hakim bicara sehingga membawa kepada salah laku keadilan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

    “Justeru dengan itu kami memohon supaya sabitan terhadap pertuduhan subahat pecah amanah ini, tidak diganggu,” katanya yang menambah hukuman sebatan terhadap Syed Saddiq adalah munasabah kerana tertuduh masih muda atau tidak melebihi usia setengah abad.

    Syed Saddiq memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

    Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

    Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

    Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

    Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Bekas Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

    BH ONLINE

  • Arus deras sukarkan pencarian mangsa pikap hanyut

    KUCHING – Hujan lebat malam tadi menyukarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang hilang selepas kereta dinaikinya hanyut di Sungai Sengayan, Ulu Baram, di pedalaman Bahagian Miri, Ahad lalu.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata berikutan hujan berterusan itu, arus sungai berkenaan semakin deras sehingga menyukarkan bot kecil melaluinya.

    Beliau berkata, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi yang terbabit dalam operasi SAR sejak Selasa lalu juga menghadapi masalah komunikasi berikutan tiada liputan telefon, internet dan rangkaian Rangkaian Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di lokasi kejadian.

    “Berikutan itu operasi hari ini diteruskan dengan menyusuri tebing sungai dari lokasi kejadian menghala ke arah muara sungai sehingga radius 10 kilometer,” katanya.

    Operasi SAR turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah Baram serta penduduk kampung.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Ahad lalu, pikap Toyota Hilux jenis ‘single cab’ yang dinaiki seorang pemandu dan tiga penumpang cuba meredah air untuk menyeberangi Sungai Senagayan.

    Bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila kenderaan terbabit dihanyutkan arus sungai yang deras.

    Akibat kejadian itu, dua penumpang iaitu Dawellies Luing, 46, dan anaknya Valerrie Mentie, 9, hilang, manakala isteri Dawellies, iaitu Litun Ajip dan pemandu pikap itu berjaya menyelamatkan diri.

    Mayat Valerrie ditemui di tebing sungai kira-kira jam 2.20 petang Isnin lalu iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

    Operasi kini dipergiatkan untuk mengesan Dawellies yang bertugas sebagai Pembantu Pengurusan Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Jekitan.

    BH ONLINE

  • Lelaki maut jatuh perigi di Kampar

    IPOH – Seorang lelaki maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam perigi ketika mengambil air di Kampung Nyior, Kampar di sini hari ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa lelaki berumur 57 tahun itu pada 7.52 pagi.

    “Lelaki itu didapati terjatuh ke perigi sedalam tiga meter dan bomba menggunakan tali bagi mengambil mangsa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Sabarodzi berkata lelaki itu disahkan telah meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Kemajuan projek ECRL capai 81.07 peratus

    PASIR PUTEH – Kemajuan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan jarak 665 kilometer (km) kini mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 81.07 peratus sehingga Mac lalu.

    Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL), Datuk Seri Darwish Abdul Razak, berkata proses pembinaan berada di tahap terbaik dan mengikut jadual yang ditetapkan.

    Katanya, kemajuan projek di Terengganu mencapai 90 peratus, Kelantan 88.68 peratus, manakala Pahang pula merekodkan kemajuan 86 peratus.

    “Dengan perkembangan projek ini, ia membolehkan ECRL memulakan operasi pada Januari 2027 sebagaimana jadual asal yang ditetapkan.

    “Untuk operasi percubaan akan dilakukan pada Jun tahun depan dan beberapa keretapi penumpang akan tiba tahun ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja Menteri Besar di tapak Stesen Pasir Puteh, di sini, hari ini.

    Beliau turut berpuas hati terhadap kerja-kerja yang dilakukan dan perkembangan projek itu memberi motivasi kepada pihaknya.

    “Kita berterima kasih kepada semua kerajaan negeri yang banyak membantu dalam pembinaan projek ini termasuk mempercepatkan proses pengambilan tanah.

    “Di Kelantan, dua Stesen ECRL iaitu di Pasir Puteh dan Kota Bharu juga masing-masing mencapai kemajuan 67 dan 69 peratus dan dijangka siap pada April dan Mei tahun depan,” katanya.

    Sementara itu, ditanya dakwaan penduduk yang projek ECRL menyebabkan berlaku banjir kilat, Darwish berkata pihaknya sudah menyelesaikan masalah yang berbangkit dengan perbincangan berterusan dilakukan.

    BH ONLINE

  • Seorang lagi suspek kes culik remaja di Seremban direman

    SEREMBAN – Seorang lagi suspek direman selama 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes culik remaja dengan permintaan wang tebusan RM2 juta pada 10 April lalu.

    Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata perintah reman terhadap wanita berusia 50-an itu dikeluarkan Majistret Fairuz Syuhada Amran, pagi ini.

    Suspek ditahan jam 12.55 tengah hari semalam di Cheras, Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961.

    Media sebelum ini melaporkan seorang suspek kes culik remaja perempuan di Seremban pada 10 April lepas ditembak mati di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor.

    Susulan itu, enam individu termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun direman 14 hari bermula 14 April lepas.

    BH ONLINE – BERNAMA

  • Keputusan SPM 2024 diumum Khamis depan – KPM

    PUTRAJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan diumumkan pada Khamis, 24 April ini, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

    Dalam satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan seramai 402,956 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan tersebut yang dilaksanakan di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.

    “Calon sekolah boleh mendapatkan keputusan masing-masing di sekolah bermula 10 pagi pada tarikh tersebut.

    “Bagi calon persendirian, keputusan akan dihantar melalui pos atau boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri tempat mereka mendaftar untuk menduduki peperiksaan,” menurut kenyataan itu.

    KPM memaklumkan pihak sekolah perlu memastikan proses penyerahan keputusan peperiksaan dilaksanakan secara cekap dan teratur bagi memastikan kelancaran urusan penyampaian keputusan kepada calon.

    Selain itu, calon sekolah dan calon persendirian juga boleh membuat semakan keputusan secara dalam talian menerusi laman sesawang myresultspm.moe.gov.my mulai 10 pagi pada 24 April sehingga 6 petang pada 30 April 2025.

    Semakan juga boleh dibuat menerusi SMS dengan menaip SPM, diikuti nombor kad pengenalan dan angka giliran, kemudian dihantar ke 15888 dalam tempoh sama.

    KPM turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon dan berharap kejayaan yang diraih akan menjadi pemangkin untuk terus melakar kecemerlangan pada masa hadapan.

    BH ONLINE – BERNAMA