Category: MALAYSIA

  • 5 maut kemalangan dirempuh kereta dipandu remaja 16 tahun

    KUCHING — Jumlah mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di sini, tengah hari tadi meningkat kepada lima orang.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, empat daripada mangsa yang berumur antara 16 hingga 45 tahun, termasuk seorang wanita meninggal dunia di tempat kejadian.

    Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

    “Kemalangan di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru kira-kira jam 12.50 tengah hari itu berlaku apabila sebuah kereta dari arah Jalan Lapangan Terbang menghala ke Jalan Seria Raja hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

    “Kereta itu kemudian merempuh dua motosikal dan dua kereta di laluan bertentangan itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

    Mohd Farhan berkata, remaja lelaki berusia 16 tahun yang memandu kereta Proton Saga yang merempuh empat kenderaan lain itu kini masih menerima rawatan di HUS kerana mengalami kecederaan di leher.

    “Tiga lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan juga menerima rawatan lanjut di HUS,” katanya.

    Empat lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah sebuah Toyota Altis, Proton Saga serta dua motosikal iaitu Yamaha dan Modenas.

    Menurutnya lagi, remaja lelaki itu yang tidak memiliki lesen memandu akan ditahan selepas dia menerima rawatan di HUS.

    “Dia akan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya

    “Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000,” katanya.

    Beliau turut meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi pegawai penyiasat trafik, Asisten Superintendan Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082- 259900 atau mana-mana balai polis berhampiran.

    BH ONLINE

  • Pekerja kontrak maut terkena renjatan elektrik

    MEMBAKUT — Seorang pekerja kontrak maut selepas terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Bambangan, di sini, petang tadi.

    Mangsa lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai terkena renjatan ketika melaksanakan kerja memasang talian internet sebuah syarikat telekomunikasi berhampiran kabel elektrik.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba Mohd Johainin Ruslan, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.20 petang.

    “Sejurus tiba di lokasi, didapati terdapat seorang lelaki terkena renjatan elektrik dan menurut rakannya, mangsa terkena renjatan ketika menjalankan aktiviti memasang talian internet sebuah syarikat telekomunikasi berhampiran kabel elektrik.

    “Mangsa dihantar ke hospital oleh rakan sekerjanya sebelum ketibaan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di hospital oleh doktor yang bertugas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, operasi dijalankan membabitkan lima anggota bersama sebuah jentera.

    “Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 5.12 petang,” katanya.

    BH ONLINE

  • Lelaki hilang ketika berenang menyeberangi sungai disahkan lemas

    KUCHING — Juruteknik talian elektrik yang dilapor hilang ketika berenang menyeberangi Sungai Buan di Ngemah, Kanowit, semalam ditemukan lemas, hari ini.

    Mayat mangsa, Mohamad Hamizan Reduan, 25, ditemui anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak di dasar sungai itu jam 11.34 pagi tadi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak, berkata mayat mangsa ditemui pada selaman keenam di kedudukan kira-kira tiga meter dari lokasi terakhir dia dilihat berenang, semalam.

    Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Tujuh anggota PPDA terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua hari ini.

    “Tumpuan pencarian meliputi radius sembilan meter keliling di lokasi terakhir mangsa dilihat semalam dan enam selaman dilakukan sehinggalah mayat ditemukan di dasar sungai itu,” katanya.

    Mangsa dikatakan berenang menyeberangi sungai untuk balik ke rumah sewanya di Rumah Panjang Manggin, untuk makan tengah hari.

    Berdasarkan keterangan saksi, ketika berenang menyeberangi sungai itu, mangsa tiba-tiba hilang dari pandangan kira-kira jam 1 tengah hari.

    Mangsa dikatakan tenggelam ketika berada di tengah sungai dan paras air ketika itu cukup tinggi berikutan air pasang besar dan hujan lebat di kawasan hulu sungai.

    Pihak bomba yang menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.50 tengah hari semalam, menghantar sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit ke lokasi terletak kira-kira 45 kilometer dari balai.

    Operasi SAR diperhebatkan hari ini dengan penyertaan tujuh anggota PPDA.

    BH ONLINE

  • Dadah sintetik ATS pilihan utama penagih dadah di Malaysia

    KAJANG — Dadah sintetik jenis perangsang amfetamin (ATS) antaranya syabu, pil kuda dan ekstasi terus menjadi pilihan penagih dadah di Malaysia.

    Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh, sekali gus membuktikan ancaman berkaitan dadah sintetik yang semakin meningkat.

    Mengulas lanjut, katanya seramai 169,691 penagih dadah direkodkan pihaknya, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pemulihan Persendirian (PPP) sepanjang tahun lalu.

    “Jenis dadah paling banyak disalah guna adalah ATS seperti syabu, pil kuda dan ekstasi membabitkan 119,410 pengguna atau 70 peratus daripada keseluruhan penagih.

    “Dadah jenis opiat pula menjadi pilihan kedua penagih dadah seluruh negara mencatatkan 38,854 penagih, manakala ganja 6,750 penagih dan selebihnya mengambil lain-lain jenis narkotik serta pil psikotik,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Ketua Pengarah dan Perhimpunan Bulanan AADK, di sini, hari ini.

    Tambah beliau, AADK berjaya merekodkan tahap 79 peratus pada kadar pemulihan klien pada tahun lalu, berbanding sasaran awal ditetapkan iaitu 77 peratus.

    Beliau berkata, seramai 17,652 orang klien memenuhi kriteria kekal pulih daripada 22,224 klien yang telah tamat rawatan pemulihan dalam komuniti sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

    “Begitu juga dengan capaian perkhidmatan Mobile Recovery Treatment (MRT) yang telah dapat diperluaskan kepada 13,140 orang klien,” katanya.

    Untuk 2025 pula, kata Ruslin, AADK memberi tumpuan kepada pelaksanaan pindaan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, selain merangka Pelan Komunikasi Antidadah sebagai satu usaha menyebar luas mesej antidadah yang tepat dan terkini.

    “AADK juga merancang meningkatkan pengukuhan kerjasama dengan pemegang taruh seperti agensi kerajaan dan swasta, pakar psikiatri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan serta komuniti terdiri pemimpin masyarakat dan keluarga.

    “Kita juga akan memperkenalkan program pemulihan lebih bersepadu, termasuk sokongan psikologi dan sosial bagi individu yang sedang menjalani pemulihan. Selain itu, inovatif dalam mencari penyelesaian kepada masalah penyalahgunaan dadah dalam pelaksanaan modul pencegahan, rawatan pemulihan dan penguatkuasaan.

    “Salah satunya adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas diaplikasikan dalam pelbagai sektor termasuk perubatan, keselamatan, pendidikan dan banyak lagi,” katanya.

    Mengulas cecair perisa vape dikenali ‘mushroom’ yang disalahgunakan secara meluas dan mudah diperoleh, Ruslin berkata, ‘magic mushroom’ iaitu psilosibin atau dadah sintetik Methyl-dimethylbutanoate (MDMB), kedua-duanya berada dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memerlukan tindakan AADK.

    “Pada tahun lalu kita ada melakukan kajian membabitkan 50 kes. Penagih dakwa mereka ambil ‘magic mashroom’ tetapi daripada data kita dapat daripada jabatan kimia, bahan itu bukan ‘magic mushroom’ tetapi dadah sintetik yang dimasukkan di dalam cecair vape.

    “Magic Mushroom’ itu di luar sana adalah satu terminologi meluas dipakai, tetapi realitinya kajian membuktikan ia adalah dadah sintetik,” katanya mengakui tidak dapat mengesahkan daripada mana dadah itu diperoleh, tetapi banyak digunakan dalam kalangan remaja.

    BH ONLINE

  • Bekas guru besar didakwa 15 pertuduhan bersubahat menipu

    KUALA TERENGGANU — Bekas guru besar sebuah sekolah rendah di daerah Marang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 15 pertuduhan bersubahat menipu dan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan pembekalan makanan asrama dan kontrak pembersihan berjumlah keseluruhan RM500,318.

    Tertuduh, Zalina Bidin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

    Berdasarkan 12 pertuduhan, tertuduh bersubahat bersama pembantu tadbir kanan dan ejen sebuah syarikat menipu dengan mengemukakan dokumen palsu hingga menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Merchang menyerahkan 12 keping cek dengan nilaian keseluruhan mencecah setengah juta ringgit.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Oktober 2022 hingga 20 Februari 2023.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 akta yang sama.

    Sementara itu, tertuduh turut berdepan dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 28(1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia2009 (694) dan dibaca bersama Seksyen 18 akta yang sama.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan mengemukakan borang pengesahan bilangan pekerja dan rekod kehadiran pekerja kebersihan yang mengandungi butiran mantan palsu bagi menuntut pembayaran gaji pekerja kebersihan sedangkan pekerja tersebut tidak pernah hadir bekerja.

    Wanita berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai hingga September 2022 di sekolah yang sama.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 17 Februari ini untuk serahan dokumen.

    Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan diarah melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.

    BH ONLINE

  • ‘Penjara 3 bulan curi setandan pisang terlalu berat’ – Hakim

    MUAR — Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mengetepikan hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap seorang duda selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang, Rabu lalu.

    Hakim, Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid sebaliknya menggantikan hukuman itu dengan penjara 10 hari bermula dari tarikh ditahan, 4 Januari yang mana ia akan dibebaskan daripada tahanan hari ini.

    Dalam penghakiman ringkas, Meor Hashimi berkata, penjara tiga bulan yang dikenakan terhadap tertuduh, Muhammad Fadil Ismail, 35, oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat adalah terlalu berat.

    “Mahkamah percaya keputusan dibuat oleh majistret tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.

    “Justeru, mahkamah memutuskan hukuman itu (penjara tiga bulan ) diketepikan dengan tertuduh dipenjara 10 hari bermula tarikh ditangkap,” hujahnya dalam prosing semakan kehakiman.

    Dengan keputusan dibuat oleh Mahkamah Tinggi, Muhammad Fadil akan dibebaskan hari ini.

    Pada prosiding itu, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Asmah Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Semakan kehakiman itu dibuat mengikut Seksyen 323 dan 325 Kanun Prosedur Jenayah.

    Minggu lalu, Muhammad Fadil dipenjara tiga bulan selepas mengaku bersalah mencuri setandan pisang milik lelaki berusia 56 tahun di Parit Jaya, Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit, 9.45 pagi, 4 Januari lalu.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua manakala bagi kesalahan kedua, penjara dan denda.

    Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap, 4 Januari lalu.

    Dalam kejadian itu, tertuduh yang juga kelindan lori ditahan selepas mangsa membuat laporan polis sebaik melihat kelibat lelaki itu menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kebunnya.

    Sebelum tangkapan dibuat, pengadu mendapati pisang jenis ‘rastali’ yang ditanam di kebunnya kerap hilang akibat dicuri individu tidak diketahui.

    BH ONLINE

  • Bot berlanggar, juragan bersama penumpang dilapor hilang ditemukan tidak bernyawa.

    SEMPORNA — Seorang juragan bersama penumpangnya yang dilaporkan hilang selepas terhumban ke dalam laut apabila bot dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah bot pelancong di kawasan perairan Kampung Balimbang, di sini, disahkan meninggal dunia.

    Insiden itu membabitkan sebuah bot pelancong membawa 12 penumpang dalam perjalanan menuju ke Pulau Mabul, sebelum berlanggar dengan bot laju berkenaan kira-kira jam 9.45 pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Semporna Superintenden Mohd Sobri Zainol berkata, akibat pelanggaran itu juragan bot bersama seorang penumpang masing-masing berumur 45 dan 50 tahun telah terhumban ke dalam laut dan dilaporkan hilang.

    “Usaha pencarian telah dilakukan oleh orang awam dan kedua-dua mangsa dijumpai tenggelam di dalam air dengan keadaan tidak bernyawa.

    “Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian,” katanya menerusi kenyataan di sini, lewat malàm tadi.

    Mohd Sobri berkata, berikutan itu satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga mengakibatkan kematian.

    Pada masa sama beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Mohammad Hafizudin Akram Ghafsr Ismail di talian 013-7557293 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan.

    “Pemilik bot juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati semasa mengendalikan bot masing-masing terutama di kawasan yang sibuk selain menyediakan peralatan dan kelengkapan keselamatan termasuk memasang lampu pada waktu malam dan menyediakan jaket keselamatan,” katanya.

    BH ONLINE

  • Banjir di Johor cecah hampir 4,000 mangsa

    JOHOR BAHRU — Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsanya terus meningkat kepada 3,973 orang daripada 1,113 keluarga yang berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 8 pagi ini.

    Ia berbanding seramai 3,779 mangsa banjir (1,023 keluarga) dipindahkan ke 36 PPS di lima daerah terjejas bencana itu, setakat jam 4 petang semalam.

    Lima daerah berkenaan ialah Kota Tinggi dan Kulai mencatat pertambahan bilangan mangsa banjir, manakala mangsa di Johor Bahru, Pontian dan Kluang tidak banyak berubah.

    Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata Kota Tinggi kekal daerah paling terjejas dengan mangsa banjir meningkat kepada 1,313 penduduk (376 keluarga) yang ditempatkan di 14 PPS.

    “Ia diikuti Johor Bahru dengan mangsa banjirnya melonjak kepada 808 penduduk (232 keluarga) di lima PPS.

    “Mangsa banjir di Kulai turut bertambah kepada 764 penduduk (191 keluarga) yang berada di lima PPS, pagi ini.

    “Di Pontian, jumlah mangsa banjir membabitkan 595 penduduk (161 keluarga) di sembilan PPS.

    “Selain itu, mangsa banjir di Kluang kini seramai 550 orang (160 keluarga) yang berlindung di lima PPS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Johor memaklumkan setakat ini, terdapat empat paras air sungai masih merekodkan tahap bahaya iaitu Sungai Kahang di Kluang, Sungai Punggai di Kota Tinggi, Sungai Punggai di Pontian dan Sungai Skudai (Kampung Pasir).

    “Air di tiga sungai lagi berada pada paras amaran, iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat, Sungai Skudai (Kampung Laut) dan Sungai Jemaluang di Mersing.

    “Empat sungai pula mencatat paras air tahap waspada membabitkan Sungai Muar di Segamat, Sungai Tiram di Johor Bahru, dan Sungai Johor, Sungai Sedili Kecil dan Sungai Ulu Sedili Besar di Kota Tinggi,” katanya.

    BH ONLINE

  • Ibu bersama bayi antara 6 maut nahas 3 kenderaan

    SEMPORNA — Enam maut, termasuk seorang ibu bersama bayi lelakinya serta seorang kanak-kanak perempuan, apabila kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Jalan Kalumpang, Semporna-Tawau, di sini, hari ini.

    Difahamkan, nahas kira-kira jam 4.50 petang itu membabitkan sebuah kereta Proton Wira, kenderaan pacuan empat roda Isuzu D-Max dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova.

    Kesemua mangsa terkorban menaiki Proton Wira itu yang dipandu seorang lelaki dengan membawa enam penumpang, termasuk dua lelaki dewasa serta seorang wanita warga emas.

    Seorang lagi mangsa menaiki kereta berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan, namun maklumat lengkap identiti kesemua mereka belum diperoleh, setakat ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata empat individu yang menaiki Isuzu D-Max dan empat lagi dalam Toyota Innova bagaimanapun dilaporkan tiada mengalami kecederaan.

    Katanya, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 4.58 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi.

    “Setiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan seramai 15 individu dengan enam daripada mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan, manakala seorang lagi cedera,” katanya.

    Katanya, mayat kesemua mangsa yang maut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada jam 7.16 malam. Punca kejadian masih dalam siasatan.

    BH ONLINE

  • SUV dihanyut arus di ladang sawit, 3 pemancing maut

    KOTA TINGGI — Tiga lelaki maut apabila perjalanan untuk memancing bertukar tragedi selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki dihanyutkan arus deras di sebuah ladang sawit di Sedili, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mangsa berada dalam sebuah Toyota Land Cruiser yang terperangkap dan separuh tenggelam dalam lumpur berhampiran parit di ladang sawit terbabit.

    Tiga mangsa yang maut itu dikenali sebagai Lee Fook Wan, 48; Lee Choy Yeow, 49 dan Leong Kon Fatt, 72.

    Seorang rakan mereka, 40, cuba menggunakan Toyota Hilux untuk menarik kenderaan terbabit, namun SUV berkenaan tergelincir ke dalam parit dan tenggelam akibat arus banjir yang deras.

    Pemandu Hilux bersama seorang lagi rakan berjaya memecahkan cermin tingkap SUV itu dan menarik salah seorang mangsa keluar.

    Namun, mangsa terbabit tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan dari Hospital Kota Tinggi.

    Yusof berkata, usaha menyelamatkan dua lagi mangsa gagal, walaupun operasi mencari dan menyelamat membabitkan 42 anggota dari pelbagai agensi dijalankan.

    Bagaimanapun, pada jam 11.07 malam, pihak penyelamat menemui mayat mangsa yang terperangkap di dalam Land Cruiser yang tenggelam.

    Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk proses bedah siasat.

    Yusof bagaimanapun menegaskan kematian tiga mangsa itu bukanlah berkaitan banjir kilat, sebaliknya diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR).

    BH ONLINE