Category: MALAYSIA

  • ‘Inspektor Sheila’ dilepas, dibebaskan dari tuduhan hina peguam

    SELAYANG — Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan pegawai polis dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ atas pertuduhan menghina kesopanan seorang peguam, tahun lalu.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni membuat keputusan itu selepas mangsa, P Taneswaran, 41, yang juga saksi tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, ketika mahu memberi keterangan dalam perbicaraan pertama hari ini.

    Pada 26 Jun tahun lalu, wanita itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menghina kesopanan Taneswaran dengan berkata, “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu.”

    Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Sri Gombak di sini, pada 1 tengahari, 15 Jun 2023.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Sementara itu, Manoharan ketika dihubungi berkata anak guamnya dibebaskan selepas Taneswaran memaklumkan tidak mahu meneruskan kes terhadap Sheila.

    “Perbicaraan kes sepatutnya dijadualkan bermula hari ini, namun mangsa tidak mahu meneruskan prosiding. Mendengar perkara itu, majistret kemudiannya membebaskan anak guam saya,” katanya.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Azmal.

    Tertuduh bagaimanapun masih berdepan dua lagi kes iaitu mengugut seorang wanita, M Silverkoomarie, 70, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa pada jam 12 tengah hari, pada tarikh dan lokasi sama.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh menyebut pangkat polis dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, di lokasi sama pada jam 1.25 tengahari 15 Jun tahun lalu dan dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    BH ONLINE

  • 2 beranak dalam perjalanan ke tabika maut nahas motosikal, kereta

    KUALA BERANG — Seorang kanak-kanak berusia enam tahun maut, manakala bapanya meninggal dunia kira-kira empat jam kemudian selepas motosikal dinaiki mereka untuk ke tabika kemalangan dengan sebuah kereta, pagi tadi.

    Muhammad Daim Irfanshah Saiful Azrin dilapor maut di tempat kejadian di Kilometer 15 Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, kira-kira jam 7.45 pagi itu.

    Bapanya, Saiful Azrin Awang, 42, pula dilapor meninggal dunia kira-kira jam 12 tengah hari ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT).

    Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, berkata siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun.

    Beliau berkata, pemandu Proton Saga itu dari rumahnya di Kuala Terengganu untuk ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Tengkawang.

    Ketika kereta mahu membelok masuk ke simpang kanan, katanya, motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dinaiki dua beranak datang dari arah bertentangan dan dikatakan melanggar bahagian tepi sebelah kiri kereta.

    “Kejadian menyebabkan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang yang alami pendarahan dalam paru-paru serta patah tulang tengkorak dibawa ke HHT untuk rawatan lanjut.

    “Bagaimanapun, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di hospital ketika menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.

    Zainul Mujahidin berkata, mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik HHT untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

    BH ONLINE

  • Jumlah mangsa bah di Pahang meningkat kepada 441 orang, Lipis daerah terbaharu dilanda bencana

    LIPIS — Lipis menjadi daerah kedua di Pahang dilanda banjir dengan jumlah mangsa bencana itu di negeri ini dilaporkan terus meningkat.

    Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 9 pagi tadi, memaklumkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Lipis, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kechaui Tui dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui.

    Keseluruhan seramai 218 penduduk daripada 61 keluarga dipindahkan dengan PPS di sekolah berkenaan menempatkan 133 orang daripada 34 keluarga dan Dewan Semai Bakti Felda Kechaui menempatkan 85 orang daripada 27 keluarga.

    Dengan pembukaan PPS di Lipis dan tiga PPS baharu di Raub, jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat.

    Raub yang mula dilanda banjir awal pagi semalam mencatatkan pertambahan bilangan mangsa kepada 223 orang daripada 66 keluarga yang berlindung di enam PPS berbanding 99 orang daripada 25 keluarga di dua PPS semalam.

    Enam PPS terbabit ialah Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang, Masjid Kampung Pintu Padang, Pusat Kegiatan KEMAS Gali, Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali, Sekolah Menengah Agama Al-Fallah Batu Talam dan Balai Raya Kampung Sungai Pasu.

    Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Pahang, melibatkan Lipis dan Raub setakat 9 pagi adalah 441 orang daripada 127 keluarga dengan pembukaan lapan PPS.

    Sementara itu, laman sesawang infobanjir.water.gov.my menyenaraikan enam sungai di Pahang mencecah tahap waspada.

    Ia membabitkan Sungai Jelai di Jeram Bungor, Sungai Jelai Kuala Medang, Sungai Jelai Jeti Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Mentiga di Jambatan Chini (Pekan).

    BH ONLINE

  • Pelajar UTP maut, Bezza terbabas langgar pembahagi jalan

    SERI ISKANDAR — Seorang pelajar lelaki Universiti Teknologi Petronas (UTP) maut manakala tiga rakannya cedera selepas kereta mereka naiki terbabas di Jalan Teknologi 1, di sini, malam tadi.

    Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa berusia 19 tahun dari Sabah meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata anggota pihaknya menerima maklumat kemalangan membabitkan Perodua Bezza pada jam 8.19 malam.

    “Nahas membabitkan empat orang berusia 19 tahun, seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian, manakala tiga yang lain cedera ringan,” katanya, hari ini.

    Terdahulu, tular video memaparkan Perodua Bezza terlanggar pembahagi jalan sebelum berpusing beberapa kali dan masuk ke arah bertentangan.

    Video terbabit turut memaparkan seorang mangsa tercampak keluar dari kenderaan terbabit.

    BH ONLINE

  • Hajat balik rumah tak kesampaian, dua beranak maut dilanggar kereta

    TAMPIN — Perjalanan pulang dua beranak ke rumah di Pulau Sebang tidak kesampaian apabila terbunuh selepas motosikal mereka bertembung sebuah kereta di Kilometer (KM) 12, Jalan Tampin- Gemas, di sini, pagi tadi.

    Penunggang lelaki berusia 38 tahun dan pembonceng wanita yang juga ibunya berusia 72 tahun, disahkan maut di lokasi dalam kejadian jam 9 pagi itu.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Amiruddien Sariman berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Proton Savy berkenaan dikatakan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung motosikal ditunggang dua beranak itu.

    “Hasil siasatan mendapati kemalangan ketika pemandu kereta seorang mekanik berusia 19 tahun sedang dalam perjalanan dari Pulau Sebang, di sini, ke Palong, Jempol.

    “Apabila sampai di tempat kejadian dekat kawasan selekoh, kereta berkenaan difahamkan hilang kawalan lalu termasuk laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal dinaiki dua beranak itu,” katanya di sini, hari ini.

    Amiruddien berkata penunggang dan ibunya disahkan meninggal ditempat kejadian akibat parah manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

    Katanya, dua beranak itu difahamkan dalam perjalanan pulang dari Gemencheh ke rumah mereka di Pulau Sebang.

    “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tampin, di sini, untuk proses bedah siasat.

    “Kertas siasatan dibuka mengikut 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu motokar ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Amiruddien meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu untuk tampil ke Balai Polis Trafik Daerah Tampin bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aqwa di talian 013-9515011 atau 064431999.

    BH ONLINE

  • Remaja 15 tahun maut jatuh pangsapuri selepas bertengkar dengan teman lelaki

    Remaja 15 tahun ditemukan maut oleh orang awam dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Farlim, Georgetown. NSTP

    GEORGETOWN — Remaja perempuan berusia 15 tahun ditemukan maut oleh orang awam selepas dipercayai jatuh tingkat 16 sebuah pangsapuri di Farlim di sini, awal pagi tadi.

    Sebelum kejadian jam 1 pagi, remaja itu dikatakan berselisih faham dan bertengkar dengan kekasihnya.

    Difahamkan, remaja yang masih bersekolah itu turut mengelar pergelangan tangan kirinya sebelum jatuh pangsapuri manakala ibunya tiada di rumah.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata siasatan polis mendapati sebelum kejadian berlaku pertengkaran antara remaja itu dengan kekasihnya.

    Semakan mendapati ibu bapa mangsa sudah bercerai dan bapanya kini berada di Kuala Lumpur.

    “Ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana keluar membeli barang dan mangsa adalah anak tunggal.

    “Siasatan lanjut pihak polis di lokasi kejadian tidak menemui unsur jenayah,” katanya dihubungi hari ini.

    Mengulas lanjut Swee Sake berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan proses bedah siasat.

    “Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

    BH ONLINE

  • Musim tengkujuh: Raub daerah pertama dilanda banjir

    KUANTAN — Raub menjadi daerah pertama dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh apabila 99 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) awal pagi tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Raub berkata hujan berterusan sejak 11 malam tadi, menyebabkan dua kampung di daerah itu iaitu Kampung Tok Machang dan Kampung Ulu Gali dinaiki air mulai 12.30 tengah malam.

    “Pada 3.45 pagi, PKOD (Pusat Kawalan Operasi Daerah) APM Daerah Raub menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kejadian banjir di dua kampung tersebut.

    “Anggota APM Raub bergerak ke lokasi kejadian bagi membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Ulu Gali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut kenyataan itu, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang makluman berkaitan kejadian tidak diingini akibat banjir dan akan terus berwaspada memandangkan cuaca tidak menentu.

    Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, paras Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub, mencecah 133.46 meter (m) melebihi tahap waspada iaitu 133.33m, setakat 8.30 pagi ini.

    BH 0NLINE-BERNAMA

  • Sekolah gempar lori rempuh pondok pengawal

    Sebuah lori merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum melanggar pondok pengawal Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Karang, hari ini. NSTP

    TANJONG KARANG — Sesi pembelajaran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Karang, di sini, gempar selepas sebuah lori merempuh pondok pengawal keselamatan, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, nahas jam 9.10 pagi itu berlaku di Kilometer 60 Jalan Klang-Teluk Intan, berhadapan sekolah terbabit.

    Menurutnya, selain lori jenis Scania kemalangan turut membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Citra.

    “Siasatan awal mendapati pemandu MPV lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari Tanjong Karang ke Kuala Selangor.

    “Setibanya di lokasi, lori dari arah bertentangan memasuki jalan dan melanggar Naza Citra yang berada di lorong kanan. Kenderaan berat itu seterusnya melanggar pondok pengawal,” katanya ketika dihubungi.

    Azaharudin berkata, kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan.

    Menurutnya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

    Terdahulu, tular di laman sosial beberapa gambar memaparkan kemalangan di antara lori yang merempuh pondok pengawal keselamatan dan MPV.

    BH ONLINE

  • Wanita maut kereta rempuh besi penghadang lebuh raya

    HULU SELANGOR — Seorang wanita maut, manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 434.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, dekat Sungai Buaya, di sini, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata polis menerima laporan berhubung nahas membabitkan sebuah kereta Proton Wira jam 8.25 pagi.

    “Siasatan awal mendapati, kenderaan itu dalam perjalanan ke arah selatan dipercayai terbabas dan merempuh penghadang jalan.

    “Pemandu kereta berusia 56 tahun cedera parah dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, manakala penumpang wanita yang identitinya masih belum dikenal pasti meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

    Ahmad Faizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    BH ONLINE

  • Wanita dikhuatiri lemas motosikal ditemui dalam sungai

    ALOR SETAR — Seorang wanita berusia lingkungan 30-an dikhuatiri lemas selepas motosikalnya ditemukan dalam Sungai Pendang, di sini hari ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.54 pagi.

    Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hashim Saad tiba di lokasi bersama lima anggota.

    “Setibanya di lokasi kejadian, dimaklumkan, motosikal mangsa dipercayai terbabas ke dalam sungai berdasarkan penemuan motosikal itu di sungai terbabit.

    “Mangsa dikhuatiri lemas dan dihanyutkan arus sungai berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

    Wan Azizul Hakim berkata, anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra dan Sungai Petani tiba di lokasi untuk melakukan selaman dan pencarian di permukaan air.

    Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dilakukan di lokasi membabitkan pasukan Bomba polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar.

    Difahamkan, sungai itu mempunyai kedalaman sekitar lebih empat meter.

    BH ONLINE