‘Lapor SUHAKAM kalau polis periksa telefon bimbit’

KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menegaskan, polis tidak boleh sewenang-wenangnya memeriksa telefon bimbit seseorang ketika sekatan jalan raya kerana ia dianggap melanggar hak asasi manusia.

Dalam kenyataannya, SUHAKAM meminta orang awam untuk cakna dengan hak asasi masing-masing terutamanya ketika diberhentikan, disoal siasat mahupun ditahan oleh polis.

“Orang ramai diingatkan bahawa jika peranti mereka diperiksa sewenang-wenangnya tanpa alasan munasabah, mereka perlu mencatatkan tempat kejadian, nama serta nombor pengenalan pada pakaian seragam polis sebelum membuat aduan kepada SUHAKAM.

“SUHAKAM sekali lagi menekankan kepentingan setiap individu untuk menyedari hak asasi mereka serta pegawai penguat kuasa undang-undang menjalankan sekatan jalan raya ini dengan cara yang sah, bertanggungjawab, penuh hati-hati dan berhemah,” katanya hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai individu mempertikai tindakan polis menahan seseorang dan memeriksa telefon bimbit.

Berikutan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan syak wasangka yang munasabah.

Beliau memetik Seksyen 23(1) dan 116B CPC, serta peruntukan daripada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) dan Akta Polis 1967.

Penggeledahan boleh dibuat tanpa waran jika pegawai itu percaya bahawa penangguhan perolehan waran boleh menjejaskan siasatan, tambahnya.

Dalam pada itu, SUHAKAM turut meminta supaya kerajaan menjelaskan lebih laniut mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Razarudin, sebelum ini.

“SUHAKAM bimbang dengan kenyataan KPN, bahawa mana-mana pegawai berpangkat inspektor atau lebih tinggi diberi kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang di sekatan jalan raya, dengan alasan bahawa ia dibenarkan di bawah Kanun Keseksaan, Kanun Prosedur Jenayah (CPC), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) dan Akta Polis 1967.

“Mengikut Seksyen 116B CPC, seorang pegawai polis berpangkat inspektor atau lebih tinggi hanya dibenarkan mengakses telefon bimbit atau peranti digital lain tertakluk kepada carian sah sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan, di mana polis mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan sudah atau sedang dilakukan.

“Seksyen 247 dan 248 CMA juga memerlukan carian dan penyitaan peranti digital dilakukan berkaitan dengan siasatan yang sedang berjalan, dengan alasan munasabah untuk mempercayai bahawa satu kesalahan dilakukan,” katanya.

Bagi mengelakkan daripada kejadian seumpama itu berulang, orang awam boleh membaca buku yang dikeluarkan oleh Majlis Peguam Malaysia bertajuk “Polis dan Hak Asasi Anda” sebagai panduan.

“Buku ini menyenaraikan senario dengan polis dan apa yang boleh dilakukan untuk mengamalkan hak sebagai warga negara,” katanya.

Orang awam yang ingin membuat aduan kepada SUHAKAM boleh disalurkan kepada complaints@suhakam.org.my atau ke laman sesawang rasmi iaitu aduan.suhakam.org.my.

BH ONLINE