Pengarah Mahkamah Negeri Sabah maut nahas

SIBU – Pengarah Mahkamah Negeri Sabah, Marutin Pagan, maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di kawasan Bulatan Simpang Kanowit di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata mangsa yang berusia 56 tahun disahkan meninggal di lokasi kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas tercampak dari kenderaan dipandunya itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan pada jam 1.59 tengah hari.

“Pemandu MPV yang berlanggar dengan kenderaan dipandu mangsa tidak mengalami kecederaan manakala empat penumpang hanya cedera ringan dan dirawat di Hospital Kanowit.

Zulkipli berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dikatakan bergerak dari arah Kanowit menuju Sibu sebelum dilanggar MPV di kawasan bulatan terbabit.

Marutin yang juga anak jati Sarawak, pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Sesyen di Sibu dan Bintulu serta hakim Mahkamah Majistret Kuching sebelum menyandang jawatan Pengarah Mahkamah Negeri Sabah.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BH ONLINE