Remaja perempuan 16 tahun hilang dari rumah di Karak

KUALA LUMPUR — Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya di Kampung Tok Muda, Karak, Pahang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata pihaknya menerima laporan kehilangan Siti Khadijah Abdul Rahman daripada ibu remaja itu pada jam 8.30 pagi.

Beliau berkata, remaja itu kali terakhir dilihat di rumah kira-kira jam 12.30 tengah malam sebelum disedari hilang pada jam 6 pagi tadi.

“Ketika kali terakhir dilihat, Siti Khadijah memakai kemeja-T lengan panjang berwarna hijau dan putih serta seluar jean biru.

“Remaja itu berkulit sawo matang dengan ketinggian sekitar 157 sentimeter, berat 40 kilogram dan bentuk badan sederhana,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati berlaku perselisihan faham antara Siti Khadijah dengan ahli keluarganya sebelum kejadian.

Sehubungan itu, orang ramai yang ada sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja terbabit diminta tampil untuk membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berdekatan atau hubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melalui talian 09-2231999.

Selain itu, orang ramai boleh ke mana-mana balai polis bawah pentadbiran IPD Bentong, iaitu Balai Polis Bentong (09-2222222), Balai Polis Genting Highlands (03-61012222), Balai Polis Karak (09-2311222), Balai Polis Lurah Bilut (09-2377222), Balai Polis Manchis (09-2450522), Balai Polis Bukit Tinggi (09-2330222) dan Balai Polis Telemong (09-2399222).

BH ONLINE