Syed Saddiq ubah niat pindah wang ke akaun peribadi ASB – Pendakwaan

PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan menghujahkan tiada pengeluaran wang sumbangan yang dikumpulkan Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dalam dua program berasingan pada April 2018 digunakan bagi kempen Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan, berkata sebaliknya bekas Menteri Belia dan Sukan itu selaku perayu mengubah niat dengan memindahkan sejumlah wang bernilai RM100,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya selepas PRU14.

Ketika berhujah di hadapan tiga panel hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Farah Ezlin berkata, perayu, saksi pembelaan kedua (SD2) (Ulya Aqamah Husamudin) dan SD4 (Siti Nurul Hidayah) menyatakan bahawa dalam persediaan menghadapi PRU14, terdapat dua program ‘fundraising’ diadakan bagi tujuan kempen perayu di Parlimen Muar iaitu ‘Makan Amal Muo’ pada 7 April 2018 di Banquet Hall, Muar; dan ‘Fundraising Battle for Johor’ pada 8 April 2018 di De Palma Hotel, Ampang.

“Perayu mengeluarkan resit perbelanjaan untuk digunakan bagi PRU14, tetapi itu tidak bermakna wang itu berpunca daripada dananya sendiri.

“Tiada bukti yang menunjukkan bahawa sumber wang yang digunakan dalam kempen itu sememangnya berasal daripada dana peribadi dan perlu ‘reimbursement’ (dibayar balik),” katanya.

Katanya, SD4 berperanan sebagai orang yang bertanggungjawab menguruskan kempen perayu langsung tidak dimaklumkan bahawa wang ‘fundraising’ yang diraih adalah bagi tujuan reimbursement.

“Ini selari dengan keterangannya bahawa SD4 hanya mengetahui fakta bahawa wang fundraising diarahkan oleh perayu kepada SP13 (Rafiq Hakim Razali) untuk dipindahkan ke akaun peribadi perayu selepas perayu disiasat.

“SD4 juga tidak mempunyai pengetahuan bahawa wang itu kemudiannya dipindahkan ke akaun ASB peribadi perayu. Seharusnya SD4 sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal perbelanjaan kempen adalah orang yang sewajarnya tahu dan dapat memberikan penjelasan berkenaan jumlah yang dibelanjakan, jumlah yang hendak digantikan, sebaliknya, SD4 ‘was left in the dark’,” katanya.

Selain itu, Farah Ezlin berkata, dalam keterangan bela diri Syed Saddiq memberitahu pembayaran balik kempen PRU14 adalah ‘after thought’ (perkara yang difikirkan kemudian).

“Ini kerana perayu tidak pernah memaklumkan kepada SP13 bahawa wang ini adalah sebagai “reimbursement” kepada perbelanjaan kempen berkenaan,” katanya.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.

Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

Prosiding rayuan ini adalah peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun jika panel hakim membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan dengan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari ARMADA yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

BH ONLINE